Tuesday, July 19, 2011

Pengenalan Kitab Bahtera Penyelamat (Fathi Yakan)

Judul buku : Bahtera penyelamat dalam kehidupan penda’wah
Judul asal : Qawarib Al-Najat Fi Hayat Al-Du’ah
Penulis : Fathi Yakan
Penterjemah : Ustadh ‘Abdul Ghani Shamsuddin dan Ustadz Zawawi Hj. ‘Ali
Penerbit : Dewan Pustaka Fajar.

bahtera penyelamat

(Pengenalan Penulis)

Lahir di Tarablas, Lubnan, 13/6/2009 kembali ke rahmatullah, usia 76, Tulis 35 buah buku, 1950an sudah aktif dalam gerakan Islam, 1992 K.Umum Jamaah Islamiah Lebanon, 1996 jadi Ahli Parlimen , Phd. dalam Pengajian Islam & B.Arab
Buku istimewa yang ditulis oleh Fathi Yakan ini secara umumnya menyentuh keperluan dan bekalan yang perlu ada pada setiap individu Muslim secara umum dan kepada setiap pendakwah secara khusus. Isinya dibahagikan kepada empat bahagian.

Bahagian pertama : Rintangan perjuangan dalam kehidupan penda’wah.
Sebagai mana yang diketahui jalan dakwah yang dipilih secara sukarela tidak pernah menjamin keselesaan , kemewahan mahupun kesenangan. Bahagian ini membahaskan secara terperinci berkenaan rintangan yang akan dihadapi dari mukmin , golongan munafiq , orang-orang kafir , syaitan dan nafsu.

Bahagian kedua : Ciri-ciri keimanan.
Membahaskan ciri-ciri yang perlu ada pada golongan yang mengaku beriman.Sifat-sifat yang perlu dijaga.

Bahagian ketiga : Bekalan para da’i.
Oleh kerana jalan yang bakal ditempuh adalah jauh , sukar , meletihkan dan memudarkan semangat . Para da’i perlukan bekalan agar sentiasa segar dan konsisten dalam jalan yang dipilihnya. Bekalan ini akan memastikan mereka tidak mudah putus asa dan tidak mudah mengalah apabila dilanda ujian yang menyakitkan.

Bahagian keempat : Bahtera penyelamat untuk para da’i.
Bahtera-bahtera yang mampu menjaga para da’i agar sentiasa selamat . Ianya meliputi Ma’rifatullah , Ibadatullah , Zikrullah , Al-Khaufu Minaallah , Muraqabatullah , Hubullah , Redha dan Hubburasul.

Saturday, April 30, 2011

Biarlah Dalam Diri ini Punya Perasaan Malu

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: "Sifat malu merupakan salah satu cabang daripada cabang-cabang Iman" (Riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam sebuah hadith yang lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Asal iman ialah telanjang (tiada pakaian). Pakaiannya ialah takwa dan perhiasannya ialah malu."

Berdasar hal itu, malu merupakan sifat yang paling mulia yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada hamba-Nya. Seseorang yang memiliki sifat malu mampu menahan dirinya daripada melakukan sesuatu perbuatan keji. Oleh sebab itu sifat malu menjadi pelengkap kesempurnaan seseorang insan. Menurut Ibnu Maskawaih, sifat malu merupakan sikap yang boleh mempertahankan diri daripada melakukan dosa. Orang yang malu, takut melakukan perbuatan yang tidak baik. Hakikatnya sifat ini salah satu sifat peribadi orang yang beriman.

Sifat malu dan masyarakat Melayu sebenarnya begitu sinonim, saling bertaut antara satu sama lain. Bahkan banyak pepatah Melayu yang mengungkapkan perkataan malu. Kita biasa mendengar pepatah seperti "malu-malu kucing", "malu bertanya sesat jalan", "malu berdayung berdayung perahu hanyut", "malu makan perut lapar", dan lain-lain lagi. Pepatah Melayu yang sedemikian itu sebenarnya lahir daripada tata pergaulan dan budaya masyarakat Melayu itu sendiri.

Sebenarnya timbul rasa malu pada seseorang bermula daripada mata. Barangkali itulah hikmahnya mengapa Allah S.W.T. meletakkan kedudukan deria penglihatan ini di bahagian atas tubuh manusia. Tujuannya tentu untuk memudahkan hamba-hamba-Nya melihat. Apabila mata melihat perkara dosa dan maksiat, disalurkan kepada hati. Dengan itu mudah dijauhi.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w meminta umatnya agar berhati-hati apabila melihat sesuatu, agar tidak menggunakan nikmat mata yang diberikan oleh Allah itu ke arah kemaksiatan kepada-Nya. Rasulullah s.a.w telah bersabda seperti yang diriwayatkan daripada Abi Umaimah r.a yang bermaksud: "Tidaklah orang Islam itu apabila dia memandang pada kehormatan wanita kemudian dia menundukkan pandangannya melainkan diberikan oleh Allah S.W.T. suatu ibadah yang terdapat padanya kemanisan (iman) dalam hatinya."

Seandainya hati seseorang sudah dihiasi dengan iman yang sempurna maka lebih dalamlah sifat malunya. Tetapi seandainya nafsu lebih banyak menguasai hati nescaya hilanglah rasa malunya. Oleh sebab itu, pengukuhan hati dengan nur iman inilah yang akan menentukan sejauh mana kemampuannya untuk mengawal mata agar bersifat malu, tunduk, dan merendahkan pandangannya. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman, hendaklah mereka sentiasa merendahkan pandangan dan memelihara kehormatan mereka" (Surah al-Nur: 30).

Dalam sebuah hadith Qudsi, daripada Abdullah bin Mas'ud r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya pandangan mata (yang diharamkan) merupakan panahan beracun daripada panahan Iblis. Sesiapa yang menundukkan pandangannya kerana takut kepada-Ku, akan Aku tukarkan (pandangan) dengan iman yang dapat dirasai kemanisannya dalam hati" (Hadith Riwayat Tabrani dan al-Hakim).

Imam al-Jurjani berpendapat bahawa sifat malu merupakan cermin peribadi Mukmin yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. kepada setiap hamba-Nya. Hal ini menyebabkan orang yang beriman enggan melakukan dosa, mereka takut, dan malu kepada Allah S.W.T. Jadi, malu yang dikurniakan kepada hamba-Nya adalah untuk menjadikan mereka orang yang terbaik. Dalam hal ini, Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: "Sifat malu tidak akan membawa seseorang Mukmin itu melainkan untuk kebaikan sahaja."

Walau bagaimanapun malu pada seseorang boleh menjuruskan kepada kebaikan dan juga keburukan. Apabila malu tercetus seperti yang dituntut dalam Islam maka malunya akan membawa kepada kebaikan. Malu ini berpunca daripada keimanan kepada Allah S.W.T. Sebaliknya apabila malu datang daripada dorongan syaitan dan nafsu, maka seseorang itu akan malu untuk melakukan kebaikan. Sebenarnya, iman dan malu merupakan dua perkara yang saling berkait antara satu sama lain. Jika salah satu daripada keduanya hilang maka rosaklah seluruh pancainderanya. Ketika itu deria matanya sudah tidak malu untuk melihat perkara yang diharamkan, telinganya sudah hilang malu untuk mendengar umpat dan fitnah orang, kakinya pula sudah tidak malu untuk melangkah ke lembah kemaksiatan.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya: "Iman dan malu bergandingan, apabila terangkat satu daripadanya, terangkat kedua-duanya." Jadi, setiap orang wajib menjaga agar tidak tercabut sifat malu demi menjaga iman terhadap Allah S.W.T. Dalam masa yang sama, hati perlu dijaga kerana pada hatilah terletak iman dan malu itu. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Ingatlah, sesungguhnya pada tubuh badan manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, maka baiklah keseluruhan anggota jasadnya tetapi jika rosak daging itu maka rosak jugalah keseluruhan anggota jasadnya. Yang demikian itu ialah hati" (Riwayat Bukhari).

Rasulullah s.a.w sendiri secara realitinya sangat pemalu. Hal ini dijelaskan sendiri oleh para isteri Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadith yang bermaksud: "Rasulullah s.a.w. itu seorang yang sangat pemalu orangnya" (Riwayat Bukhari).

Oleh sebab itu, sebagai umat Rasulullah s.a.w. kita perlulah menjadi pemalu seperti yang ditunjukkan oleh baginda. Panduannya dijelaskan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan dari Abu Lais, daripada Abdullah bin Mas'ud katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Malulah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar malu. Lalu dijawab para sahabat, wahai Rasulullah s.a.w. kami sudah malu kepada Allah! Kemudian Nabi menjelaskan: "Bukan itu yang aku maksudkan, tetapi orang yang benar-benar malu kepada Allah, akan menjaga kepala dan semua pancainderanya daripada dosa-dosa, begitu juga dengan perut dan apa yang masuk ke dalamnya. Untuk itu hendaklah selalu ingat akan mati dan bencana di dalam kubur. Sesiapa yang benar-benar ingin akan akhirat, dia akan sanggup meninggalkan kesenangan dunia. Sesiapa yang berbuat demikian maka sebenarnya dia telah malu kepada Allah dengan sungguh-sungguh malu."

Malu yang bersifat imani ini hanya boleh didapati melalui proses makrifatullah iaitu mengenal Allah S.W.T. Yakni mengenal sifat-sifat-Nya serta ilmu-Nya yang melampaui segala maklumat yang tersembunyi di hati manusia. Dalam hal ini Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Mereka cuba menyembunyikan (keburukan) daripada manusia, tetapi mereka tidak mampu (berselindung) daripada (pengetahuan) Allah, padahal Allah sentiasa bersama mereka, ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahsia yang Allah tidak redhai. Dan sesungguhnya (ilmu) Allah meliputi segalanya terhadap apa yang mereka lakukan" (Surah al-Nisa': 108).

Oleh hal yang demikian, mereka yang benar-benar mengenal Allah pasti akan berasa malu. Malu yang akan menjadikan manusia malu kepada Allah, taat beribadah, warak, dan berperibadi yang baik sama ada di hadapan khalayak ramai atau waktu bersendirian.

Sebenarnya, sifat malu ini wajar dilatih dan dipupuk bermula dari rumah lagi. Ibu bapalah yang sepatutnya menanamkan akhlak malu kepada anak-anak. Manakala di sekolah pula guru-guru yang bertindak sebagai fasilitator, wajar memperkemaskannya melalui didikan sehinggalah berjaya diterapkan dalam masyarakat.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abi Mas'ud al-Badri r.a, dia berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda mafhumnya: "Sesungguhnya sesuatu yang dipegang oleh manusia daripada ucapan kenabian yang pertama ialah: "Jika engkau tidak berasa malu maka perbuatlah perkara yang engkau inginkan" (Riwayat Bukhari).

Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahawa malu merupakan sifat dan budaya para Anbia' sejak Nabi Adam lagi. Tegasnya, sifat malu amat besar peranannya dalam membentuk peribadi Muslim dan ummah keseluruhannya. Sifat malu itulah yang mampu mencegah dan menahan masyarakat daripada melakukan perbuatan-perbuatan buruk.

Orang yang tidak memiliki sifat malu ini, mereka akan tenggelam dalam setiap perbuatan keji dan mungkar. Mereka tidak akan malu lagi untuk melakukan kemaksiatan, malah dicanangkan ke merata ceruk dan berbangga dengannya. Jelasnya, apabila masyarakat Islam hilang rasa malu, mereka akan melakukan apa sahaja yang diinginkan.

Realiti yang jelas pada hari ini, kejahatan dan kemungkaran yang semakin bertambah parah itu berpunca daripada hilangnya sifat malu pada umat akhir zaman ini. Yang amat menyedihkan dalam hal ini, kebanyakan kes melibatkan orang-orang Islam sendiri. Kes-kes bersekedudukan dan sumbang mahram misalnya, bukan lagi menjadi isu sensitif. Malah cerita sedemikian rupa sudah dikomersialkan di dada-dada akhbar, buku-buku dan juga majalah hiburan.

Kegawatan akhlak yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, samalah seperti yang berlaku di negara barat yang sudah hancur nilai moral dan akhlaknya. Keruntuhan peribadi manusia di akhir zaman ini telah menjadi bukti kebenaran yang dirakamkan melalui lidah Rasulullah s.a.w, 1400 tahun yang lalu. Sabda Baginda yang bermaksud: "Kiamat tidak akan terjadi sehinggalah rasa malu telah lenyap daripada anak-anak dan kaum perempuan."

Hal ini diperkuatkan lagi dengan yang dikatakan oleh seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang bernama Salman al-Farisi yang bermaksud: "Sesungguhnya apabila Allah S.W.T. menginginkan kehancuran dan kebinasaan seseorang hamba-Nya, maka Dia akan mencabut daripada dirinya sifat malu. Apabila sudah dicabut sifat tersebut, maka dia tidak akan bertemu dengan Allah S.W.T. lagi, kecuali dalam keadaan dia amat dimurkai. Apabila dia sudah berada dalam keadaan sedemikian, maka akan dicabut daripada dirinya sifat amanah, lantas dia tidak akan menemui Allah S.W.T. lagi, kecuali dalam keadaan dia dicap sebagai pengkhianat atau orang yang dikhianati. Apabila dia sudah dilabel sedemikian rupa, maka akan dicabut daripada dirinya pula sifat rahmah (belas kasihan) lantas dia tidak akan bertemu dengan Allah S.W.T. kecuali dalam keadaan dia memiliki sikap keras dan berhati kasar. Apabila dia sudah dalam keadaan sebegitu, maka akan dicabut sebahagian iman daripada tengkuknya, dan apabila sudah dicabut imannya, maka dia tidak akan bertemu dengan Allah S.W.T. kecuali dalam keadaan menjadi syaitan yang dilaknat atau suka melaknat".

Tetapi realiti yang berlaku pada hari ini, sifat malu diletakkan pada keadaan atau tempat yang tidak sepatutnya. Malu tidak bertempat, khususnya apabila melibatkan masalah-masalah agama. Malu seperti ini, dinamakan malu orang jahil. Walhal tidak ada malu dalam melaksanakan amalan agama. Selain itu, terdapat umat Islam yang malu untuk mendalami ilmu agama, apatah lagi perkara yang melibatkan permasalahan yang agak sensitif dan bersifat peribadi. Bukan sahaja perkara yang melibatkan kaum wanita, lelaki juga tidak mahu bertanya kerana malu.

Terdapat juga orang yang malu untuk melakukan kebaikan kerana takut dikata ketinggalan zaman, malu untuk menyatakan pendapat kerana rasa rendah diri yang keterlaluan. Bahkan ada yang malu untuk meninggalkan perkara yang haram atau makruh kerana takut dikatakan, tidak pandai bersosial. Tidak kurang juga generasi kini yang rasa malu untuk menampakkan kebenaran, dan malu untuk mengambil keputusan sesuatu yang benar. Bukan itu sahaja, mereka juga malu untuk menonjolkan kebenaran orang lain atau menyatakan kebenaran orang lain. Malu yang sebegini sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: ".... Dan Allah S.W.T. tidak malu pada sesuatu yang hak (kebenaran)" (Surah al-Ahzab: 53).

Sifat malu yang dimiliki oleh umat Islam merupakan sebahagian daripada cabang iman. Maknanya, kalau seseorang itu mempunyai malu, imannya berada di tahap yang selamat. Dalam sebuah hadith yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad dan al-Nasai dia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau memiliki dua sifat yang dicintai oleh Allah. Aku bertanya kepada baginda, "Sifat apakah itu wahai Rasulullah?" Baginda bersabda, "Sifat lemah lembut dan sifat malu." Aku bertanya lagi, sifat yang sudah lama (dalam diriku) atau yang baru? Baginda menjawab dengan sabdanya, "Bahkan sudah lama." Aku berkata (pada diriku), Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T. yang telah menganugerahkan kepadaku dua sifat yang dicintai oleh Allah".

Oleh yang demikian, peringatan untuk diri saya dan sahabat2 agar kita sama2 menyemai perasaan malu ini berteraskan ajaran Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W. dan tidak menghakis perasaan ini di dalam diri kita untuk mendapat kesenangan dunia semata-mata. wallahua'lam.

Saturday, February 12, 2011

YA ALLAH, TEGUHKANLAH HATIKU...


Tika ini aku merasakan ada sekelumit kekuatan untuk aku menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan untuk diriku, dan di ketika inilah aku harus menggunakannya sebaik mungkin bagi tidak mensia-siakan peluang ini, andai di satu ketika aku jatuh tersungkur aku harapkan ada teman yg akan membantuku demi perjuangan yang ingin digalas, mustahil untuk aku bekerja seorang diri dan mustahil untuk aku tidak memerlukan sokongan dan dorongan dari sahabat-sahabat yang selalu disampingku dan yang aku kasihi, mungkin inilah ujian yang Allah telah tetapkan untuk diriku agar aku mengenal apa itu erti kehidupan sebenar dan yang ku harap ianya selalu mengiringi hidupku, amin ya rabbal alamin…

Sebagai penguat dan perangsang untuk diri ini bantulah aku wahai sahabat yang sejati…

Saturday, February 5, 2011

TAQWA

FIRMAN ALLAH:
"sesungguhnya org2 yg bertaqwa, apabila mrk disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mrk ingt (kpd ajaran Allah) maka dgn itu mrk nampak (jalan yg benar)" (surah al-A'raf: ayat 201)



MANUSIA selalu dilalaikan oleh nikmat kesenangan dunia, mereka lupa akan 9 lagi nikmat yang akan diperolehi diakhirat kelak yang mana tidak semua MANUSIA akan memperolehinya kecuali dengan Iman dan Taqwa kepada ALLAH.

Iman kadang-kadang bertambah setinggi-tingginya dan iman juga boleh berkurang sekurang-kurangnya apabila ianya tidak dijaga, itulah hakikat yang sedang digalas oleh setiap orang yang bergelar muslim.

Sentiasalah kita menghisab amalan diri kita setiap masa, waktu dan ketika agar dapat kita menjaga iman yang berada dan meresap di dalam tubuh kita ini. Sentiasalah berzikir untuk mengingati Allah dan sentiasalah memperbaharui syahadah kita kepada ALLAH dan RASULNYA MUHAMMAD S.A.W.


Memang tidak dinafikan, Manusia sering melakukan kesilapan dan kecuaian di dalam hidupnya, tetapi ingatlah ALLAH itu adalah yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihani akan hambanya. Oleh itu, sama-samalah kita memohon ampun kepadaNya di atas dosa dan maksiat yang telah kita lakukan samaada disedari atau tidak, semoga dengan keagunganNya kita terlepas daripada azab siksa yang tidak terperi pedihnya di akhirat kelak, Allahuakbar...


Diri ini sering lalai dalam menjalani kehidupan seharian tetapi aku harapkan iman yang berbaki di dalam diri ini dapat ku pertingkatkan agar aku dapat melangkah dengan lebih berhati-hati mengharungi onak-onak berduri dan rintangan-rintangan untuk kesyurgaNya, Subhanallah...

Friday, January 14, 2011

Ingin Sekali Aku Mencontohinya



Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk Yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah). (al-Isra’: 67)



Terdengarkan ayat ini, teringat aku akan sebuah kisah sahabat Rasulullah yang bernama Ja’far as-Sadiq r.a. yang mana dia telah ditanya oleh seorang lelaki berkenaan “ALLAH”. Beliau telah menggunakan kebijaksanaannya di mana beliau menggunakan analogi yang sangat bernas yang telah disebut di dalam kitab Allah surah al-Isra’ ayat 67 yang menjelaskan berkenaan bagaimana untuk faham dengan lebih jelas berkenaan Allah.

Beliau telah bertanyakan kembali kepada lelaki tersebut;

Ja’far as- Sadiq : Tidak pernahkah anda belayar di laut?

Lelaki : Pernah.

J’far as- Sadiq : Pernahkan anda dilanda ribut taufan?

Lelaki : Ya.

Ja’far as- Sadiq : Pada ketika itu, adakah anda merasa putus harapan daripada kelasi-kelasi dan alat-alat penyelamat?

Lelaki : Ya.

Ja’far as- Sadiq : Adakah terlintas di hati anda dan tercetus di dalam jiwa anda pada ketika itu bahawa di sana ada Yang Kuasa menyelamatkan anda jika Ia mahu?

Lelaki : Ya, ada.

Ja’far as- Sadiq : Itulah Dia Allah Ta’ala.

Dari kisah ini, begitu tepat analogi yang disebutkan dan membuatkan diriku lebih faham mengenai Allah dan untuk beriman denganNya.

Begitu juga tertarik aku kepada bagaimana cara dakwah dan kebijaksanaan sahabat dalam menyampaikan sejurus menjelaskan mengenai Yang Maha Esa dan membuatkan seseorang itu beriman dengan lebih yakin dengan Allah.

Kuharapkan, diri ini dapat mencontohi dan meneladani apa yang telah ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah dalam menyampaikan mesej-mesej Islam kepada ummah akhir zaman ini, insyaAllah…

Friday, November 12, 2010

TEGAKKAN ISLAM WAHAI PEJUANG



Kita adalah rantai-rantai penyambung perjuangan ISLAM,


Letakkanlah ISLAM dan yang hak ditempat yang sepatutnya,

ISLAM bukan untuk ditindas dan bukan juga untuk dipermainkan,

Biarpun rintangan dan dugaan dihadapi,

Tempuhilah dengan penuh kesabaran,

Kerana itulah sebenarnya kemanisan dalam berjuang,

Bergeraklah di dalam saf-saf yang benar,

BERJUANG MENEGAKKAN KEMA'RUFAN, MENENTANG KEZALIMAN

ALLAHUAKBAR...

AMAR MA’RUF, NAHI MUNGKAR

MUQADDIMAH

1) Amar Ma’ruf Nahi Mungkar = suatu usaha yang paling mulia, tinggi kedudukannya, sangat dititikberatkan di dalam Islam

2) Mesti dilaksanakan agar manusia sentiasa berada di atas landasan yang betul dan tidak menyimpang dari jalan yang sebenarnya

3) Hidup manusia = mudah lupa, lemah dan serba kekurangan, didatangkan para Nabi as sebagai pencetus kebangkitan dan penegur atas segala kesilapan dan kesalahan yang dilakukan

4) Hukum Amar ma’ruf nahi Mungkar adalah WAJIB


DALIL

Antaranya :

“Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyeru kepada ma’ruf dan mencegah daripada mungkar. Merekalah orang-orang yang berjaya.”(‘Ali-‘Imran:104)

Abu Hurairah r.a. berkata:

“Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (yang bermaksud): “Anjurkanlah kebaikan itu meskipun kamu belum dapat mengerjakannya dan cegahlah segala yang mungkar meskipun kamu belum menghentikannya.”

SYARAT YANG MEMERLUKAN NAHI MUNGKAR

1) Perkara mungkar tersebut adalah terlarang dalam syariat Islam.

2) Kemungkaran yang dilakukan secara terang-terangan.

3) Kemungkaran itu di dalam perkara yang telah diketahui hukumnya bukan yang dihukum secara ijtihad.


BEBERAPA KEPERLUAN KESEDIAAN AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR

1. Keimanan yang mendalam

2. Ilmu yang hak

3. Matlamat untuk keredhaan Allah


TAHAP KEMUNGKARAN DAN CARA MENCEGAHNYA

1) Orang yang melakukan perkara mungkar namun tidak mengetahui perkara tersebut adalah mungkar = Nasihat secara lemah lembut

2) Orang yang sudah mengetahui bahawa perkara tersebut adalah mungkar dan ditegah namun masih berani melakukannya = Memberi nasihat dan menggambarkan ancaman Allah dan kemurkaan-Nya

3) Apabila cara lembut tidak diendahkan, gunakan cara kekerasan dalam mencegah mungkar tersebut tetapi perlu BERHIKMAH

4) Mengubah dan mencegah kemungkaran dengan tangan sendiri @ kuasa yang ada


KAEDAH AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR

Sebagaimana yang disabdakan oleh baginda Nabi saw, iaitu:-

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya(kuasanya). Jika sekiranya ia tidak berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Dan jika ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman”. (HR Muslim)

1. Dengan tangan ( Kuasa / pemerintahan)

- contoh, jika seseoang itu menjadi pengarah syarikat atau organisasi pentadbiran, dia boleh melaksanakan sesuatu arahan contohnya mewajibkan kakitangan atau pekerjanya menutup aurat, berkelakuan sopan, mengasingkan antara lelaki dan perempuan, menepati masa dan sebagainya

2. Dengan lidah / ucapan / lisan

- sekiranya seseorang atau kumpulan tidak mampu mengubah dengan kuasa- yang beerti ia mesti dilaksanakan melalui kaedah lidah lisan. Banyak cara atau kaedah yang boleh dilakukan dengan cara ini termasuk;

a.) Nasihat / peringatan

b.) Penerangan

c.) Penulisan

3. Dengan Hati (membenci dan tidak meredhai)

- boleh dilakukan setelah berikhtiar melalui kaedah kuasa dan lidah yang tidak memberikan kesan bahkan memudharatkan


STRATEGI MENJALANKAN AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR

- memerlukan kebijaksaan, ketegasan, iltizam dan tidak putus asa

- strategi yang paling berkesan = amar ma’ruf nahi mungkar secara berjemaah - mempunyai kekuatan dan sokongan yang ramai.