Friday, January 14, 2011

Ingin Sekali Aku Mencontohinya



Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk Yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah). (al-Isra’: 67)



Terdengarkan ayat ini, teringat aku akan sebuah kisah sahabat Rasulullah yang bernama Ja’far as-Sadiq r.a. yang mana dia telah ditanya oleh seorang lelaki berkenaan “ALLAH”. Beliau telah menggunakan kebijaksanaannya di mana beliau menggunakan analogi yang sangat bernas yang telah disebut di dalam kitab Allah surah al-Isra’ ayat 67 yang menjelaskan berkenaan bagaimana untuk faham dengan lebih jelas berkenaan Allah.

Beliau telah bertanyakan kembali kepada lelaki tersebut;

Ja’far as- Sadiq : Tidak pernahkah anda belayar di laut?

Lelaki : Pernah.

J’far as- Sadiq : Pernahkan anda dilanda ribut taufan?

Lelaki : Ya.

Ja’far as- Sadiq : Pada ketika itu, adakah anda merasa putus harapan daripada kelasi-kelasi dan alat-alat penyelamat?

Lelaki : Ya.

Ja’far as- Sadiq : Adakah terlintas di hati anda dan tercetus di dalam jiwa anda pada ketika itu bahawa di sana ada Yang Kuasa menyelamatkan anda jika Ia mahu?

Lelaki : Ya, ada.

Ja’far as- Sadiq : Itulah Dia Allah Ta’ala.

Dari kisah ini, begitu tepat analogi yang disebutkan dan membuatkan diriku lebih faham mengenai Allah dan untuk beriman denganNya.

Begitu juga tertarik aku kepada bagaimana cara dakwah dan kebijaksanaan sahabat dalam menyampaikan sejurus menjelaskan mengenai Yang Maha Esa dan membuatkan seseorang itu beriman dengan lebih yakin dengan Allah.

Kuharapkan, diri ini dapat mencontohi dan meneladani apa yang telah ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah dalam menyampaikan mesej-mesej Islam kepada ummah akhir zaman ini, insyaAllah…